Perkhidmatan mencuci rumah "KISAH BENAR "

PENGEMAS rumah mungkin satu kerjaya tidak menarik untuk diperkatakan. Apatah lagi ia bukanlah satu kerjaya profesional yang menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka yang terbabit dalam bidang ‘tugas dari rumah ke rumah’ ini.

Dengan sebiji baldi, pencuci vakum, kain pengelap, pencuci lantai dan tingkap, bulu ayam dan pewangi, pengemas rumah ini mengambil masa antara satu hingga dua jam menjadi ‘orang gaji segera’ mengemas dan membersihkan rumah pelanggan yang sudah menandatangani kontrak bagi tempoh tertentu.

Atas dasar saling mempercayai, kunci bertukar tangan dan dengan penuh tanggungjawab memegang amanah tuan rumah, pengemas rumah ini bersama dua pekerjanya tidak membuang masa terus membahagi tugas membersihkan kediaman.

Debu dan habuk yang melekat di setiap inci rumah, almari, kerusi, meja, perhiasan, kipas dan lampu semua dibersihkan. Lantai rumah dimop dan segala kekotoran yang ada waima di bawah permaidani dan tikar perlu disisihkan.

Pendek kata, aspek kebersihan dan susun atur kediaman itu diumpamakan seperti amalan 5S iaitu sisih, sapu, susun semula, seragam dan sentiasa amal.

Bukan setakat bahagian dalaman yang perlu dikemas dan dibersihkan, perkara sama perlu dilakukan di luar rumah. Longkang perlu dicuci, halaman rumah juga mesti bersih daripada sebarang habuk dan sampah. Barangan yang ada di luar rumah perlu disusun rapi tanpa sebarang cacat celanya.

Selepas hampir dua jam, baru pengemas rumah dan pekerja boleh menarik nafas lega dan berehat sebentar sebelum tugas sama diteruskan di kediaman lain pula.

“Ia sama seperti kita me–ngemas rumah sendiri cuma yang membezakannya, kita
mendapat upah daripada apa yang kita lakukan berbanding melakukannya di rumah sendiri.

“Tetapi sekurang-kurangnya ia mampu mendisiplinkan kita untuk bersama-sama menjaga kebersihan rumah tangga sendiri,” ujar Mashitah Abdullah, 30, membuka bicara berkaitan kerjayanya sebagai pengemas rumah.

Biarpun memiliki segulung ijazah dalam bidang teknologi, Mashitah tidak pernah menyesal bekerja sebagai pengemas rumah yang lebih sinonim dilakukan golongan ‘mak cik-mak cik’ suatu ketika dahulu.

“Kakak saya, Haslinda terlebih dahulu memulakan kerjaya ini tujuh tahun lalu tetapi kesibukan sebagai peniaga kedai makan menyebabkan dia menyerahkan tugas itu kepada saya setahun kemudian.

“Saya pula yang ketika itu tidak mempunyai pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti terus bersetuju me–ngambil alih tugas dan selesa melakukannya sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di Kuantan, Pahang.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia bersama dua pekerjanya akan membersihkan sekurang-kurangnya empat kediaman setiap hari dengan bayaran antara RM35 hingga RM50 bagi sekali perkhidmatan.

“Walaupun tambahan caj perkhidmatan dikenakan kepada pemilik rumah yang meminta saya membersihkan peti sejuk, melipat dan menggosok pakaian, saya juga mengurangkan bayaran apabila mereka memperkenalkan pelanggan baru kepada saya,” kata pemegang Diploma Pengurusan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini.

Menurut ibu kepada Syaza Iris Muhammad Shahrul Nizam, 3, ini, sikap saling mempercayai, persefahaman, bertanggungjawab, jujur, amanah dan telus antara kedua-dua pihak penting dalam kerjaya ini.

“Bukan mudah orang yang tidak kita kenal hendak ‘menyerahkan’ kediaman mereka untuk kita bersihkan. Di sini, peranan saya memberi keyakinan kepada pelanggan untuk tidak menyimpan perasaan syak wasangka dan curiga dengan tugas yang kami laksanakan.

“Saya terlebih dulu meminta tuan rumah menyimpan barang kemas dan barang berharga mereka di tempat selamat dan memberi arahan bahagian mana yang boleh dibersihkan atau dibiarkan begitu saja,” katanya yang mempunyai hampir 30 pelanggan tetap.

Mashitah berkata, pelanggannya tidak terhad kepada kaum Melayu semata-mata tetapi juga kaum Cina yang memberi kepercayaan kepadanya membersih–kan rumah ketika mereka keluar bekerja.

“Kebiasaannya, kerja ini dilakukan ketika tuan rumah dan ahli keluarganya tiada di rumah. Ini kerana saya memerlukan masa yang panjang untuk membuang semua kotoran dan habuk yang melekat sama ada di meja, kerusi, televisyen, perabot, mencuci tandas dan bilik air, membersihkan dapur dan semua ceruk yang boleh ditembusi.

“Ada ketikanya saya terpaksa berhadapan dengan pelanggan yang cerewet termasuk menempelak cara saya mengemas rumah mereka dengan menyatakannya tidak cukup bersih, perhiasan dan perabot tidak berkilat dan bersinar.

“Jika itu berlaku, saya dengan perasaan rendah diri akan melakukannya sekali lagi tanpa mengenakan bayaran tambahan,” katanya yang memperoleh pendapatan mencecah RM4,000 sebulan.

Pernah melalui pelbagai peristiwa lucu, Mashitah tidak boleh melupakan bagaimana wang kertas RM50 berteraburan di ruang tamu rumah pelanggannya ketika dia mengibas pelapik televisyen sewaktu membersihkan kediaman terbabit.

“Terkejut dengan keadaan itu, saya terus meminta pak cik itu mengutip semua wang yang sudah memenuhi ruang tamu kerana bimbang jumlah wangnya berkurangan dan menuduh saya mengambilnya.

“Saya juga pernah ditegur seorang pemilik rumah kerana meninggalkan kesan tapak kaki ketika membersihkan lantai rumah. Apa yang membuat saya terkedu, dia pula mengajar saya bagaimana untuk mencuci lantai tanpa meninggalkan kesan tapak kaki,” katanya.

Berpegang kepada kepercayaan yang diberikan suami tercinta, Shahrul Nizam Osmi, 30, Mashitah memastikan setiap keperluan suami didahulukan sebelum dia sendiri memulakan tugas dari satu kawasan kediaman ke kawasan lain di sekitar bandar Kuantan.

“Suami tidak menghalang saya bekerja begini, tambahan pula saya menetapkan untuk tidak bekerja pada Sabtu dan Ahad kerana tidak mahu mengganggu pelanggan yang mahu mengisi masa bersama keluarga pada hujung minggu,” katanya yang melakukan khidmat pembersihan itu di Indera Mahkota, Kampung Soi, Bukit Pelindung, Bukit Setongkol, Perkampungan Sri Damai, Kubang Buaya dan Medan Tok Sira.

Walaupun penat, dia tetap gembira dan seronok melakukannya. Tugasnya tidak terlalu membebankan, apatah lagi ia umpama membersih dan mengemas rumah sendiri.

“Namun begitu, kita perlu ingat kediaman itu bukan hak kita dan setiap langkah yang diatur perlu berhati-hati bimbang ada yang jatuh dan pecah berderai terutama perhiasan kaca dan kristal,” katanya.

Mashitah yang tidak pernah bekerja sama ada di sektor awam atau swasta selepas tamat pengajian mengakui, terpaksa bekerja keras pada peringkat awal menceburi bidang perkhidmatan pembersihan rumah ini.

“Saya sendiri turun padang, mengedar risalah dan membuat promosi dengan membina kain rentang mengenai perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Ada yang hubungi bertanya jenis perkhidmatan yang saya tawarkan dan mereka sedia mengupah saya membersihkan rumah mereka,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan, Mashitah akui masih terlalu awal untuk menentukan pesaing perkhidmatan yang dilakukan membabitkan kediaman perseorangan dan beberapa pejabat swasta di bandar ini.

“Saya belum pernah melihat wanita muda lain mengusahakan perniagaan ini melainkan syarikat yang berskala besar dengan pelbagai keleng–kapan cucian lain.

“Ada juga individu yang memilih untuk bekerja sendiri dari rumah ke rumah termasuk mereka yang datang sekadar membasuh pakaian dan me–ngemas rumah serba sedikit,” katanya mengakhiri perbualan hampir dua jam ketika sibuk mengemas rumah pelanggan di Perkampungan Bukit Setongkol, Kuantan.

Kredit to : http://www.hmetro.com.my/articles/Penattapihatipuas/Article

No comments:

Post a Comment